Latar Belakang Rukun Tetangga

Skim Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 sebagai satu langkah membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Skim ini kemudiannya diperbaharui dengan menekankan konsep kejiranan dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Pada masa kini peranan Skim Rukun Tetangga diperluaskan lagi dengan pendekatan pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan di dalam masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan.

Sehingga Mac 2009, sebanyak 557 Kawasan Rukun Tetangga telah ditubuhkan di negeri Selangor. Jawatankuasa Rukun Tetangga ini telah menganjurkan berbagai aktiviti di dalam komuniti mereka. Aktiviti ini bertujuan untuk membolehkan penduduk setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan diperingkat akar umbi di antara pemimpin dengan rakyat dan di antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya.

Logo Rukun Tetangga

 

Pengertian Logo

Keseluruhan Logo ini mengutarakan fungsi dan matlamat Rukun Tetangga (RT) ke arah pembentukan Bangsa Malaysia berlandaskan Rukun Negara.

 

1. Bulatan Besar

Bulatan besar pada logo ini menggambarkan rakyat negara ini sentiasa bermuafakat dan hidup bersatu padu.

2. Warna

Warna-warna yang digunakan pada logo ini adalah seperti mana yang terdapat pada Jalur Gemilang iaitu: Biru - Bermuafakat dan bersatu padu

Merah - Keberanian dan keluhuran

Kuning - Kejayaan dan keharmonian

Putih - Kesucian dan bertangungjawab

3. 5 Bulatan Kecil Warna Merah

Lima bulatan berwarna merah di bahagian atas Logo ini membawa pengertian lima prinsip Rukun Negara dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Mesej yang dibawa menerusi simbol ini ialah seluruh rakyat mendukung dengan semangat kental serta luhur falsafah dan aspirasi Rukun Negara dengan mengamalkan dan menghayatinya.

4. 2 Bentuk Titisan Air Terbalik

Di bawah bulatan pada Logo ini terdapat 2 bentuk titisan air terbalik digambarkan seperti orang membawa maksud bahawa rakyat negara ini sentiasa bersungguh-sungguh berganding bahu bagi membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.

5. Garisan Berwarna Merah

Dua garisan berwarna merah yang terdapat di kiri dan kanan Logo ini membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia sedia menghadapi apa jua ancaman dan serangan dalam usaha membentuk perpaduan dan keharmonian sejagat yang akhirnya membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.

6. Segi Tiga Berwarna Kuning

Segi tiga berwarna kuning yang terdapat di bawah Logo ini membawa pengertian bahawa Rukun Negara merupakan panduan seluruh rakyat Malaysia dalam usaha membangunkan Malaysia dengan mengambil kira nilai-nilai murni yang diamalkan bersama.

7. Garisan merah di atas garisan putih

Barisan warga Rukun Tetangga (RT) yang gagah berani mempertahankan keamanan Negara daripada segala bentuk ancaman dengan rasa keikhlasan dan ketelusan yang tiada tolok bandingnya.

8. Keseluruhan Garisan Berwarna Biru

Keseluruhan garisan berwarna biru memberi maksud bahawa rakyat Malaysia menggunakan pelbagai cara yang difikirkan sesuai mengikut nilai-nilai murni yang amalkan bersama bagi tujuan membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu bagi menjamin pembangunan negara.